BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, July 19, 2010

"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku. "

HIDAYAH DAN TAUFIQ

Hidayah dan taufiq adalah intan berlian yang berbentuk maknawi dan rohani. Ia adalah berharga seperti juga intan berlian bersifat maddi:




(1.) Siapa yang memilikinya dianggap kaya dan mulia.


(2.) Siapa yang memiliki intan berlian rohani, ia merupakan orang kaya Tuhan. Ia telah mendapat segala-galanya.


(3.) Siapa yang memilikinya, hidupnya terpimpin, akhlaknya mulia, syariatnya terjaga, imannya teguh dan bercahaya dan ia menjadi orang yang berbahagia.


Perlu diingat hidayah dan taufiq seperti jugalah barang yang berharga seperti emas dan intan berlian, ini juga boleh hilang. Oleh itu kenalah jaga dan dipelihara sebaik-baiknya agar ia tidak hilang. Barang yang hilang dari kita susah untuk memilikinya semula melainkan terpaksa berhempas-pulas berusaha mencarinya semula.


Kalau tidak ia akan terus hilang dari kita buat selama-lamanya. Kerana itulah Allah SWT mengingatkan kita dalam sepotong ayat suci Al-Quran yang bermaksud:


"Wahai Tuhan kami, jangan engkau gelincirkan hati-hati kami setelah Engkau memberi petunjuk dan kurniakan kami di sisiMu rahmat, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."


BAGAIMANA MENJAGA DAN MEMELIHARA HIDAYAH DAN TAUFIQ


Agar ia kekal jadi milik kita atau tidak hilang dari kita:


(1.) Syukur nikmat Tuhan yang paling berharga ini. Kita rasakan ia adalah nikmat dan pemberian uang tidak ternilai.


(2.) Kita istiqomah mengamalkannya dengan teguh serta penuh rasa bimbang kalau Allah Ta'ala ambil semula atau kalau-kalau Allah Ta'ala tarik semula.


(3.) Kenalah mujahadah selalu dengan penuh sabar terutama di waktu-waktu malas berbuat kebaikan dan terasa ringan untuk melakukan kemungkaran.


(4.) Bergaul selalu dengan kawan-kawan yang baik kerana ia sangat membantu kita menjaga syariat di dalam kehidupan dan kita terasa ada kawan.


(5.) Kalau kita memang orang yang dipimpin, jangan terlepas daripada pimpinan. Ada pimpinan itu perlu kerana kita sentiasa mendapat nasihat dan ilmunya dari masa ke semasa.


BAGAIMANA HIDAYAH DAN TAUFIQ DITARIK SEMULA


Hidayah dan taufiq kalau tidak pandai menjaganya ia akan diambil semula atau akan hilang semula dari kita. Diwaktu itu kita akan hidup terumbang-ambing semula - tiada displin, malas beramal, ringan berbuat maksiat, jiwa derita dan sengsara walaupun mempunyai kekayaan yang banyak dan serba ada.


Di antara sebab-sebab hidayah dan taufiq ditarik semula:


(1.) Kita derhaka dengan guru kita yang pernah memberi tunjuk ajar kepada kita dan lari dari pimpinan


(2.) Derhaka dengan kedua-dua ibubapa. Kita sia-siakan akan kedua-duanya. Kita biarkan ibubapa tidak terurus dan terjaga. Terbiarlah kehidupan kedua-duanya lebih-lebih lagi kalau dia marah dan rasa tidak senang dengan kita.


(3.) Apabila jiwa kita telah terpengaruh dengan dunia, maka dengan ibadah sudah tidak seronok. Telah mula terasa berat mengerjakannya. Maka ia perlahan-lahan luntur dan dengan halal-haram tidak diambil kira hingga takut dengan Tuhan dihakis dari hati kita hingga hilang semuanya.


(4.) Menzalimi orang. Dengan sebab menzalimi, rasa takut dengan Tuhan sedikit demi sedikit dicabut. Lepas itu cuai pun datang. Malas beribadah, kemungkaran sedikit demi sedikit berani dibuat. Begitulah seterusnya hingga hanyut dan tenggelam dalam maksiat.


(5.) Mula bergaul bebas dengan orang-orang yang tidak menjaga syariat, kemudian terus terasa seronok dengan kebebasan itu, dan terus terlajak dan sedap dengan perbuatan itu dan lepas itu terus dalam kemungkaran dan maksiat. Takut dengan Tuhan pun lenyap.


Di antara cara untuk memelihara hidayah dan taufiq agar tidak terhakis dari kita ialah sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah yang tidak ternilai harganya. Kita boleh menyuluh diri kita samada tanda-tanda bersyukur itu ada pada kita dengan perkara-perkara seperti berikut:


(1.) Solat awal waktu - sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berdepan dengan Allah yakni persiapan menunaikan solat dengan menyediakan diri dengan lebih awal. Melambat-lambatkan solat seolah-olah tidak memandang berat akan solat itu, maka rasa syukur pun terhakis.


(2.) Elak dari maksiat - jauhi maksiat termasuk maksiat batin mendekatkan diri kita kepada syukur tetapi sangat perlu untuk mujahadah bagi mereka yang sudah sebati dengan maksiat seperti bergaul bebas lelaki perempuan, melihat aurat, terlibat dengan riba dan kemungkaran. Allah melarang kita dari melakukan maksiat sedangkan kita masih terasa sedap buat maksiat, bagaimana kita nak ada rasa syukur kalau ini masih ada pada kita?


(3.) Tidak menyukai mazmumah setelah mengenali mazmumah lebih dekat - ramai orang memikirkan maksiat atau kemungkaran itu pada yang zahir seperti minum arak, berjudi dan berzina tidak tidak memikirkan mazmumah yang penting untuk di bakar dan dibuang. Sebab itu bermujahadah mengikis mazmumah adalah perlu dan dibuat secara berterusan.

Friday, July 16, 2010

INDAHNYA HIDAYAH-MU


Segala puji hanya bagiMu Tuhan
Lantaran telah menjadikan daku seorang wanita
Dicipta dari tulang rusuk kiri Adam
Dengan seindah dan sebaik ciptaan

Daku...
Si tulang bengkok
Yang KAU gubah dengan kekuatan perasaan
Mengatasi panjangnya akal fikiran, sebagai fitrah dan anugerah
Hasil doa seorang lelaki
Namun Ya Allah
Biarlah kejadianku memberi guna, bengkok yang ada manfaatnya.

Kiranya daku menjadi seorang isteri
Kurniakanlah padaku kekuatan
Menjadi tulang belakang seorang suami, seorang mujahid
Pengembang perjuangan disayap kiri
Diadun dengan kelembutan
Menjadi teman sejati, sahabat setia, penyejuk mata, pembina semangat dan penguat
jiwa
Seanggun peribadi Saidatina Khadijah
Ketenangan baginda Rasulullah, utusan Allah.

Bebas jiwa dari belenggu keperempuanan
Yang memiliki sembilan nafsu
Merdeka dari kepentingan peribadi
Setulus Siti fatimah yang seringkali ditinggalkan suami,
Saidina Ali
Dihantar pemergiannya tanpa bertanya
'Bila kan pulang?'..
Disambut kepulangannya dengan penuh khidmat dan kemanisan
Bersulamkan kemesraan
Rumahtangga adalah syurga
Wadah suburnya CINTA ketuhanan, Ubudiyyah
Akal yang tunggal tidak dibiarkan
Hanya berlega dicelahan periuk belanga
Di sebalik lipatan lampin anak
Menjangkau kebangkitan Islam di alam sejagat
Menjadi pentadbir di sebalik tabir!!!

Namun Ya Tuhan
Siapalah daku untuk memiliki
Watak wanita solehah pendamping nabi
Dek berkaratnya mazmumah yang bersarang dihati
Maka kurniakanlah daku
Sekeping hati yang sentiasa insaf
Hak seorang suami
Tidak kan mungkin kupenuhi
Biar telah ku jilat nanahnya yang berlelehan
Biar telah ku tadahkan wajahku
Buat mengusap debu di telapak kakinya..

Dan sememangnya daku mengimpikan
Watak seorang ibu
Yang bakal melahirkan
Putera-putera secekal Musa'ab bin Umar
Menggadai dunia demi kasih Tuhannya
Segigih Zubair Ibnu Awwaam
Yang diangkat Rasul sebagai "hawarij'nya
Hasil didikan seorang wanita bergelar ibu
Jua..
Memiliki puteri setabah dan seteguh Masyitah
Rela direbus demi mempertahankan iman
Atau sesuci Maryam seluruh hidupnya
Mengabdikan diri kepada Tuhan

Meskipun daku bukan ibunya yang memiliki peribadi semurni Siti Fatimah
Ibu Syeikh Abdul Kadir Jailani
Yang tiap titis darah mampu berzikir ke hadrat Ilahi

Namun..
Mudah-mudahan zuriatku
Bakal menampilkan
Mujahid-mujahid yang rindu memburu syahid
Srikandi-srikandi yang mampu memakmurkan muka bumi Allah
Dengan ketaqwaan, kesolehah, ramainya ummat Rasulullah
Yang saling redha berkorban dan dikorbankan
Buat menyemarakkan Islam di akhir zaman
Sebagaimana kisah seorang ibu yang telah kematian Putera-puteranya di medan
jihad :

Mereka telah berbahagia sebagaimana aku bahagia.
Aduhai, kiranya aku punya seorang anak lagi,
Kurelakan dia turut gugur di jalan Ilahi...

Dan seandainya daku ditaqdirkan kehilangan mereka
Setenang Ummu Faisal
Yang tidak menjadikan kematian suami dan anak-anaknya
Halangan Kecintaan padaMu Ya Ilahi

Redhailah daku yang dhaif ini sebagai hambaMu
Inilah pengaduan harap dan munajat
Kiranya KekasihMu sendiri pernah menyatakan

'Kulihat kebanyakan dari isi neraka itu adalah wanita........